Penilaian dalam pendidikan merupakan
suatu proses mentaksir sama ada kuantiti atau takat sesuatu yang diukur itu
boleh diterima atau tidak. Dengan itu, penilaian melibatkan tiga langkah
seperti:
- Mendapatkan maklumat melalui cara mengukur
- Menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran
- Membuat sesuatu pentaksiran (pertimbangan) tentang pengukuran.
Contoh:
Sekiranya objektif pada akhir
pembelajaran murid dapat mengenal pasti sembilan jenis kata adjektif. Oleh itu,
guru harus memastikan murid dapat mencapai objektif tersebut melalui aktiviti
penilaian. Oleh itu, penilaian merupakan suatu proses menggunakan
data kuantitatif dan kualiti untuk membuat penaksiran dan keputusan.
1. Data
kuantitatif : berdasarkan data atau nilai berangka atau markah
pencapaian
2. Data
kualiti : berdasarkan rekod
peristiwa dan pemerhatian tingkah laku murid.
Penilaian penting bagi mengumpul
maklumat tentang tahap pencapaian murid. Sekiranya terdapat kelemahan yang
dikenal pasti dalam proses penilaian, guru akan membuat satu kesimpulan bagi
membantu murid untuk membaiki pencapaian mereka.
TUJUAN/ KEPENTINGAN PENILAIAN
- Sebagai alat untuk mengesan kekuatan dan kelemahan murid
Penilaian dalam PdP yang dijalankan
akan membolehkan guru mengesan kekuatan dan kelemahan murid di dalam kelas.
Contoh 1: penilaian sebelum
memulakan pengajaran (set induksi) : guru akan bertanyakan soalan kepada murid
berkaitan pembelajaran lampau. Hal ini penting bagi menilai tahap kefahaman dan
ingatan murid tentang pembelajaran lepas.
Contoh 2 : penilaian dilakukan
selepas proses pembelajaran. Guru akan menggunakan kaedah-kaedah tertentu untuk
tujuan penilaian bagi mengetahui sejauh mana pencapaian objektif pembelajaran
yang digariskan telah tercapai. Guru juga dapat menilai kekuatan dan kelemahan
murid pada waktu itu.
- Mendapatkan maklum balas tentang keberkesanan kaedah pengajaran yang digunakan.
Penilaian yang dijalankan melalui
ujian-ujian tertentu akan membantu guru untuk menilai keberkesanan kedah
pengajaran yang digunakan dalam satu-satu proses pembelajaran. Hal ini penting
bagi membolehkan guru mendapatkan maklum balas kesesuaian kaedah yang digunakan
berdasarkan tahap pengetahuan murid pada masa tersebut. Kaedah pengajaran yang
digunakan perlulah bersesuaian dengan tahap pengetahuan murid agar objektif
pembelajaran dapat dicapai. Sekiranya hasil penilaian menampakkan hasil yang
negatif, guru boleh menggunakan kaedah pengajaran yang lebih sesuai dan
berkesan kepada murid tersebut.
- Menilai prestasi dan kemajuan murid
Penilaian yang dijalankan boleh
mengesan tahap prestasi dan kemajuan murid memalui ujian-ujian yang dijalankan.
Ujian formatif yang dijalankan sepanjang tahun atau ujian sumatif yang
dijalankan pada akhir tahun akan memberi maklumat prestasi dan kemajuan murid.
Hal ini penting bagi menilai tahap kefahaman murid tentang konsep-konsep yang
dipelajari oleh murid dengan menggunakan kaedah pengajaran yang tertentu. Oleh
itu, guru mahu pun ibu bapa dapat mengetahui pencapaian murid
melalui markah tau gred yang diperoleh. Seterusnya, apabila penilaian seperti
ujian-ujian yang diberikan akan menunjukkan tahap kemajuan murid tentang tajuk
pembelajaran.
- Membolehkan guru membuat klasifikasi tahap kebolehan
Penilaian yang dijalankan secara
berterusan akan dapat memberi ruang kepada guru untuk membuat kategori dan
klasifikasi tahap kebolehan dan kemahiran murid. Hal ini penting kerana
pencapaian murid akan menjadi rujukan kepada guru untuk membina klasifikasi
murid mengikut tahap pencapaian sama ada pada tahap lemah, tahap sederhana,
atau tahap baik. Oleh itu, pada pembelajaran selanjutnya, guru dapat merangka
satu kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan tahap-tahap tersebut dan
memberikan perhatian yang lebih kepada kumpulan murid yang berada dalam
kategori lemah semasa menjalankan aktiviti penggayaan dan pemulihan.
SKOP PENILAIAN DALAM PDP
- Kognitif
Penilaian dalam PdP meliputi aspek
kognitif murid. Guru perlu menilai sejauh mana berlaku perkembangan intelek
atau peningkatan aspek pengetahuan dalam minda murid. Hal ini demikian kerana,
objektif pembelajaran perlu dicapai pada setiap akhir pembelajaran. Oleh sebab
itu, guru perlu mengukur tahap kefahaman murid terhadap sesuatu tajuk
pembelajaran dengan menilai perkembangan intelek mereka. Dengan mengadakan
ujian-ujian tertentu akan membolehkan guru mengetahui perkembangan tahap
pengetahuan yang berlaku dalam kalangan murid.
- Afektif
Penilaian ini meliputi aspek
perasaan murid yang merangkumi perkembangan minat, motivasi, rohani, dan emosi
murid melalui proses PdP yang dilalui. Hal ini demikian kerana, murid akan
melalui pelbagai pengalaman sepanjang proses pembelajaran. Sebagai contoh,
kadang kala murid akan berasa malas, tidak bersemangat untuk belajar, atau
emosi murid yang terganggu. Oleh sebab itu, apabila guru melakukan penilaian,
guru akan mengesan sejauh mana perkembangan afektif murid berlaku . Jika
perkembangan memperlihatkan hasil yang negatif, guru akan melakukan tindakan
lanjut bagi melakukan penambahbaikan bagi aspek tersebut.
- Psikomotor
Penilaian ini meliputi aspek
perkembangan sikap dan tingkah laku murid hasil daripada proses PdP yang dilalui.
Semasa proses pembelajaran, murid akan didedahkan dengan pelbagai perkara
dengan menggunakan kaedah-kaedah pengajaran yang berbeza. Oleh itu, penilaian
terhadap perkembangan psikomotor murid ini penting bag menilai tindak balas
positif murid sama ada dalam bentuk tingkah laku atau sikap semasa proses
pembelajaran. Jika murid berubah menjadi seorang yang aktif dan memberi
kerjasama yang baik sepanjang proses pembelajaran, maknanya kaedah pengajaran
yang digunakan berkesan dan sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan